Sunday, January 31, 2010

Karangan Cemerlang UPSR

PENGENALAN KARANGAN ( PENULISAN )

1. Lazimnya , dalam ujian penulisan Bahasa Melayu adik-adik dikehendaki menulis dua buah karangan, iaitu soalan satu dan soalan dua.

2. Dalam soalan 1, adik-adik diberi dua tajuk karangan , oleh itu pilihlah salah satu daripada dua tajuk tersebut sama ada soalan 1 (a) atau soalan 1 (b). Soalan 2 tiada pilihan dan merupakan soalan wajib.

3. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab kedua-dua soalan itu ialah satu jam.

4. Bagi tiap-tiap soalan, panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

& Jenis-Jenis Karangan :

A. Karangan Berformat

1. Jenis Surat Kiriman Rasmi

2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi

3. Karangan jenis Ucapan

4. Karangan jenis Syarahan

5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara

6. Karangan jenis Berita

7. Karangan jenis Catatan Diari

8. Karangan jenis Laporan

9. Karangan jenis Perbahasan

10. Kad Jemputan

B. Karangan Tidak Berformat

1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata

2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi

3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan

4. Karangan Jenis Perbincangan

5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita

6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi

7. Karangan Jenis Peribahasa

& TUJUAN ANDA MENGARANG

1. menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.

2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.

3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.

4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.

Jenis dan soalan penulisan UPSR tahun-tahun lepas

TAHUN

JENIS KARANGAN DAN SOALAN

1987

Soalan 1 - karangan jenis Ransangan Kata (Ucapan)

Kamu seorang Ketua Murid. Kamu dikehendaki berucap di Majlis Perpisahan Murid-murid Tahun Enam. Guru-guru akan hadir di majlis itu. Tuliskan ucapan tersebut. Kamu hendaklah menggunakan perkataan dan rangkai kata yang diberikan di bawah ini.

-terima kasih - dikenang - mengajar - jasa guru - minta maaf bagi pihak murid-murid Tahun Enam - jangan seperti kacang lupakan kulit - di sekolah yang baru nanti.

Soalan 2 - karangan jenis Dialog

Pagi itu hujan. Kamu hendak pergi ke sekolah. Kamu hendak menumpang kereta bapa kawan kamu. Tuliskan perbualan telefon mengenai perkara tersebut antara kamu dengan kawan kamu itu.

1988

Soalan 1 - karangan jenis Ransangan Kata (surat kiriman tidak rasmi)

Kamu tinggal bersama nenek di kampung kerana bapa kamu bekerja di tempat lain. Tuliskan sepucuk surat kepada bapa kamu meminta kebenaran daripadanya untuk menyertai rombongan sekolah melawat ke tempat-tempat menarik di negeri kamu.

Kamu bolehlah menulis surat itu berpandukan isi-isi penting di bawah ini.

a) tarikh rombongan akan diadakan

b) tujuan lawatan diadakan

c) jumlah wang yang diperlukan

d) tempat-tempat yang hendak dilawati

Soalan 2 - karangan jenis fakta /perbincangan

Murid-murid tidak digalakan tidur lewat malam. Berikan sebab-sebab mengapa murid-murid patut tidur awal.

1989

Soalan 1 - karangan jenis Temuramah / Dialog

Kamu telah dilantik untuk menemu ramah guru kelas kamu yang akan bertukar ke sekolah lain. Temu ramah tersebut akan disiarkan dalam mejalah sekolah. Tuliskan temu ramah tersebut.

Soalan 2 - karangan jenis berpandukan Ransangan Gambar Bersiri

Lihat gambar-gambar di bawah. Tuliskan sebuah karangan tentang gambar-gambar ini mengikut urutan cerita.

1990

Soalan 1(a) - karangan jenis Melengkapkan Cerita

Lengkapkan cerita di bawah.

Pada petang itu aku tinggal seorang diri di rumah. Ayah dan emak masih belum pulang. Tiba-tiba kedengaran bunyi satu letupan yang begitu kuat. Aku segera……

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Autobiografi

Saya sepasang kasut

Soalan 2 - karangan jenis berpandukan gambar tunggal

Lihat gambar di bawah. Tuliskan sebuah karangan tentang gambar itu.

1991

Soalan 1(a) - karangan jenis Syarahan

Kamu mewakili sekolah kamu dalam pertandingan syarahan peringkat daerah. Tajuk syarahan itu ialah “Perlunya Murid-murid Mematuhi peraturan Sekolah”. Tuliskan syarahan kamu itu.

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Dialog

Kamu sedang berbual dengan seorang kawan kamu. Perkara yang dibualkan ialah tentang cara-cara mengindahkan kawasan sekolah kamu. Tuliskan dialog antara kamu dengan kawan kamu itu.

Soalan 2 - karangan jenis berpandukan Gambar Tunggal

1992

Soalan 1(a) - karangan jenis Fakta

Masa sangat berharga. Tuliskan sebuah karangan tentang cara-cara menggunakan masa dengan sebaiknya.

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Fakta / Pendapat

Sebagai anak, kita mestilah berusaha untuk menggembirakan ibu bapa kita. Tuliskan sebuah karangan tentang cara-cara kita boleh menggembirakan ibu bapa kita.

Soalan 2 - karangan jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi

Kamu mengikuti keluarga kamu berpindah ke tempat lain. Tuliskan sepucuk surat kepada kawan kamu menceritakan tentang pengalaman di tempat baharu itu.

1993

Soalan 1(a) - karangan jenis Cerita

Suatu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan. Tuliskan sebuah karangan tentang peristiwa tersebut.

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Melengkapkan Cerita

Jika saya mempunyai wang yang banyak, saya akan ………

Lengkapkan karangan di atas.

Soalan 2 - karangan jenis Laporan

Pada masa cuti sekolah yang lalu, kamu telah menyertai rombongan melawat beberapa tempat. Kamu telah diminta oleh guru kamu menyediakan satu laporan tentang lawatan itu. Tuliskan laporan kamu selengkapnya.

1994

Soalan 1(a) - karangan jenis Dialog

Kamu sedang berbual-bual dengan rakan kamu. Perkara yang dibualkan ialah tentang cara-cara menjaga kesihatan badan. Tuliskan dialog antara kamu dengan kawan kamu itu.

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Syarahan

Kamu mewakili kelas kamu dalam satu pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk syarahan itu ialah “Faedah Bersukan”. Tuliskan syarahan kamu itu.

Soalan 2 - karangan jenis Melengkapkan Cerita

Lengkapkan cerita di bawah.

Waktu itu aku sedang bermain-main di halaman rumahku. Tiba-tiba aku terlihat asap tebal berkepul-kepul naik ke udara. Aku terus ………

1995

Soalan 1(a) - karangan jenis Cerita

Kita dapat mengetahui pelbagai cerita aneh dengan membaca buku, mendengar cerita, dan menonton televisyen. Tuliskan sebuah cerita aneh atau ganjil yang kamu tahu.

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Gambaran

Kamu menyaksikan satu sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan. Tuliskan sebuah karangan tentang sambutan itu.

Soalan 2 - karangan jenis Surat Kiriman Rasmi

Ibu bapa kamu telah menziarahi saudara kamu yang sakit di kampung. Mereka tidak dapat balik ke rumah oleh sebab yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu kamu tidak dapat hadir ke sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adik kamu. Tuliskan sepucuk surat kepada guru kelas kamu menyatakan sebab-sebab kamu tidak dapat hadir ke sekolah pada hari itu.

1996

Soalan 1(a) - karangan jenis Fakta / Pendapat

Kita perlu menjaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal kita setiap masa.

Tuliskan cara-cara kamu menjaga kebersihan diri dan kawasan tinggal kamu.

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Fakta

Kita semua digalakkan membaca.

Tuliskan faedah-faedah yang boleh kamu dapati daripada membaca.

Soalan 2 - karangan jenis Perbualan / Dialog

Rakan kamu telah terpilih sebagai murid cemerlang. Kamu telah berbual dengan dia tentang kejayaannya itu.

Tuliskan perbualan kamu dengan kawan kamu itu.

1997

Soalan 1(a) - karangan jenis Ucapan

Sekolah kamu telah mengadakan majlis bagi mengenang jasa ibu bapa yang telah mendidik dan mengasuh kamu.

Majlis tersebut dinamakan, “Majlis Mengenang Jasa”.

Sebagai ketua murid, kamu diminta memberi ucapan pada majlis tersebut.

Sediakan ucapan kamu selengkapnya.

ATAU

Soalan 1(b) - karangan jenis Syarahan

Kamu ingin mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan yang akan diadakan di sekolah kamu. Tajuk syarahan ialah “Pentingnya kerjasama di Kalangan Murid”.

Tuliskan syarahan tersebut selengkapnya.

Soalan 2 - karangan jenis Situasi

Kamu telah terlewat untuk pergi ke sekolah. Kamu masih mahu pergi ke sekolah pada hari itu kerana ada ujian.

Ceritakan bagaimana cara kamu pergi ke sekolah dan apa yang kamu lakukan setelah sampai di sekolah.

1998

Soalan 1a - karangan jenis

Soalan 1b - karangan jenis

Soalan 2 - karangan jenis

1999

Soalan 1a - karangan jenis

Soalan 1b - karangan jenis

Soalan 2 - karangan jenis

2000

Soalan 1a - karangan jenis

Soalan 1b - karangan jenis

Soalan 2 - karangan jenis

& PANDUAN MENGARANG / MENULIS

Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :

a) Pengenalan

b) Isi-isi dan

c) Penutup

A. Pengenalan

Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.

B. Isi

Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.

Tip

Antara kaedah mencari isi

Kaedah I ( pertanyaan ) Kaedah II ( peta minda )

Apa ?

Siapa ?

Bila ?

Mengapa ?

Di mana ?

Bagaimana ?

C. Penutup

Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.

& BAGAIMANA MENDAPAT MARKAH TINGGI (‘A’) ?

1. Baca semua soalan yang diberi

Þ Fahami arahan kehendak soalan.

Þ Kenal pasti format yang perlu digunakan.

Þ Karangan yang tidak terlalu panjang atau pendek mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.

2. Guna isi yang berlainan

Þ susun isi secara berturutan

Þ letak isi mengikut perenggan

Þ memberi huraian yang tepat kepada isi.

Þ sebaik-baiknya karangan mengandungi nilai-nilai murni.

3. penggunaan perkataan yang pelbagai

Þ ada menggunakan perkataan yang terkini

Þ elak penggunaan perkataan sama yang berulang / kerap

Þ penggunaan perkataan teknikal dengan tepat

Þ elak perkataan dialek atau daerah yang tidak diterima.

4. susun ayat dengan kemas

Þ elak pengaruh struktur ayat percakapan daerah / dialek

Þ guna ayat yang pendek tetapi lengkap

Þ kebolehan menggunakan rangkai kata / ungkapan yang menarik

5. penggunaan tanda baca pada tempat yang betul

Þ gunakan tanda baca pada tempat yang diperlukan

Þ gunakan huruf kecil dan huruf besar pada tempatnya.

6. dapat membezakan antara kata depan dan kata imbuhan

Þ dapat membezakan imbuhan an dan kan

Þ guna imbuhan yang pelbagai - awalan / akhiran / sisipan / apitan ( sekurang-kurangnya 5 imbuhan yang berbagai jenis )

7. tulis mengikut ejaan yang betul

Þ elak mengikut sebutan dialek / daerah

Þ elak menulis huruf yang mengelirukan / cermat dalam bentuk tulisan

KELEMAHAN KARANGAN

A] Kesalahan memilih tajuk

· Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.

B] Kekurangan isi

· Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.

C] Pembahagian perenggan

· Ada calon meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan !

D] Tidak merangka karangan

· Ada calon yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak merangka bererti calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan.

· Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).

E] Kesalahan tatabahasa

· Calon perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’.

· Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada calon yang tidak dapat membezakan antara “pada” dengan “di”, “dari” dengan “daripada”, “bila” dengan “apabila” dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.

F] Kesuntukan masa

· Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Calon yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis.

· Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.

G] Kesalahan lain

· Tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.

· Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan.

· Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan )

Di bawah ini adalah contoh kesalahan tatabahasa. Ayat di dalam kurungan adalah pembetulannya.

A. Penggunaan Perkataan Yang Berulang Dalam Suatu Ayat.

ÖSelepas mandi Yusri bersarapan , selepas itu dia memakai baju , selepas itu dia pergi ke sekolah pula dengan menaiki basikal.

R( Selepas mandi , Yusri bersarapan dan memakai baju. Kemudian Yusri pergi ke sekolah dengan menaiki basikal. )

B. Salah Menggunakan Perkataan

dari dan daripada

ÖKain batik itu datang daripada Terengganu.

R( Kain batik itu datang dari Terengganu.)

ÖSaya baru terima surat itu dari kakak.

R( Saya baru terima surat itu daripada kakak.)

untuk , supaya dan selama

ÖCikgu Zaidi pergi ke pasar untuk membeli sayur.

R( Cikgu Zaidi pergi ke pasar membeli sayur.)

ÖAhmad menjerit untuk meminta tolong.

R( Ahmad menjerit meminta tolong.)

ÖSaya bercita-cita untuk menjadi doktor.

R( Saya bercita-cita hendak menjadi doktor.)

ÖAminah belajar bersungguh-sungguh untuk lulus dalam ujian.

R( Aminah belajar bersungguh-sungguh supaya lulus dalam ujian.)

ÖKami akan tinggal untuk dua minggu.

R( Kami akan tinggal selama dua minggu.)

ÖUjian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung untuk satu jam.

R( Ujian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung selama satu jam.)

adalah dan ialah

ÖAdalah dengan hormatnya dimaklumkan …………

R( Dengan hormatnya dimaklumkan ………………. )

ÖTuduhan itu adalah fitnah belaka.

R( Tuduhan itu fitnah belaka.)

ÖKeperluan asas manusia adalah makanan, perlindungan dan pakaian.

R( Keperluan asas manusia ialah makanan, perlindungan dan pakaian.)

bila dan apabila

ÖZainal pun bangun bila namanya dipanggil.

R( Zainal pun bangun apabila namanya dipanggil.)

ÖBila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.

R( Apabila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.)

ramai, banyak, semua dan para

ÖRamai murid-murid menonton pertandingan bola sepak itu.

R( Ramai murid menonton pertandingan bola sepak itu.)

ÖBanyak pakaian-pakaian terpakai dijual oleh Ali.

R( Banyak pakaian terpakai dijual oleh Ali.)

ÖSemua guru-guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.

R( Semua guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.)

ÖPara-para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.

R( Para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.)

ÖGuru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah-hadiah pemenang-pemenang.

R( Guru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah pemenang-pemenang.)

yang dan bahawa

ÖHasri memberitahu yang dia tidak dapat hadir ke sekolah.

R( Hasri memberitahu bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah.

ÖMereka memberitahu yang tindakan itu tidak adil.

R( Mereka memberitahu bahawa tindakan itu tidak adil.)

kata ganti nama

ÖAmbil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja sini.

R( Ambil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja ini. )

ÖEntah siapa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.

R( Entah apa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.)

kata ganti “dia” dan “ia”

nota : kata ganti “dia” ialah kata ganti nama untuk manusia sahaja. Kata ganti nama “ia” ialah untuk binatang, benda, pokok masalah dan sebagainya.

ÖPokok bunga itu tumbuh dengan subur. Dia dijaga dengan rapi oleh Sani.

R( Pokok bunga itu tumbuh dengan subur. Ia dijaga dengan rapi oleh Sani.)

ÖPerut Rosli memulas. Ia memulas sejak malam tadi lagi.

R( Perut Rosli memulas sejak malam tadi lagi.)

apa, mana dan bagaimana

ÖBaju apa yang kamu pakai ?

R( Baju mana yang kamu pakai ? )

ÖMana katanya betul belaka.

R( Apa katanya betul belaka.)

ÖApa pendapat tuan mengenai soal itu ?

R( Bagaimana pendapat tuan mengenai soal itu ? )

penjodoh bilangan

ÖIbunya seorang yang baik hati.

R( Ibunya baik hati.)

ÖAmran pulang ke rumah dengan sebuah bas sekolah.

R( Amran pulang ke rumah dengan bas sekolah.)

Di dan pada

Di dan pada

ÖBeri surat ini pada Hasrul.

R( Beri surat ini kepada Hasrul.)

ÖDi masa rehat saya ke kantin.

R( Pada masa rehat saya ke kantin.)

C. Kesalahan Struktur Ayat (ayat bercelaru dan berbelit-belit)

ÖDengan cepat berjalan adik kerana mengikut emak hendak ke pasar.

R( Adik berjalan dengan cepat kerana hendak mengikut emak ke pasar.)

ÖSemua kuih di atas meja itu telah dimakan oleh saya.

R( Semua kuih di atas meja itu telah saya makan.)

ÖBila bangun tidur saya mandi dan makan pagi lepas itu pergi ke sekolah

R( Apabila bangun tidur saya mandi dan bersarapan. Kemudian, saya pergi ke sekolah.)

ÖMamat kelihatan muram ibunya meninggal dunia

R( Mamat kelihatan muram semenjak ibunya meninggal dunia.)

ÖSaya tidak akan melupai peristiwa itu sampai selama-lamanya.

R( Saya tidak akan melupai peristiwa itu sampai bila-bila.)

ÖApakah nama kamu ?

R( Siapakah nama kamu ? )

D. Tanda baca

menggunakan tanda baca pada tempat yang salah

ÖRahman pandai bermain pelbagai alat muzik , gitar , piano dan , derum.

R( Rahman pandai bermain pelbagai alat muzik ; gitar , piano , dan derum.)

tidak menggunakan tanda baca pada tempat yang betul

ÖJangan bergerak Kalau bergerak kamu akan ditembak ,jerit polis kepada perompak itu.

R( “Jangan bergerak ! Kalau bergerak kamu akan ditembak,” ,jerit polis kepada perompak itu.)

Penggunaan huruf kecil / besar tidak pada tempat

Ö Siapakah pemenang dalam Pertandingan Syarahan anjuran berita harian

itu ?

R ( Siapakah pemenang dalam pertandingan syarahan anjuran Berita Harian

itu ? )

ÖJarak rumah saya dari Bandar Jerteh ialah 2.5 Kilometer.

R( Jarak rumah saya dari bandar Jerteh ialah 2.5 kilometer.)

E. Imbuhan

Tidak dapat membezakan antara kata depan dengan imbuhan “di” dan “ke”

ÖMasukkan buku ini didalam beg.

R( Masukkan buku ini ke dalam beg.)

ÖSemua murid di kehendaki beratur dipadang sebelum masuk ke dewan.

R( Semua murid dikehendaki beratur di padang sebelum masuk ke dewan.)

Tidak dapat membezakan imbuhan “an dan “kan”

ÖMasakkan ibu sungguh lazat.

( Masakan ibu sungguh lazat.)

ÖMasukan buku ini ke dalam almari.

R( Masukkan buku ini ke dalam almari.)

Lain-lain kesalahan

ÖKejayaan Najib membanggakan dan menggembirakan ibu bapanya.

R( Kejayaan Najib membangga dan menggembirakan ibu bapanya.)

Ö Pasar Besar Jertih mempunyai tempat meletak kereta yang menyelesa.

R ( Pasar Besar Jertih mempunyai tempat letak kereta yang selesa.)

& CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS

1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :

a. Memilih tajuk atau soalan 1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2

- Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.

- Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.

- Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai

- Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan

( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti : ………………

Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. )

Contoh :

Perhatikan soalan di bawah ini.

Soalan 1

Sekolah anda telah mengadakan “Hari Sukan”. Tuliskan sebuah karangan mengenainya.

Soalan 2

Sekolah anda telah mengadakan “Hari Sukan”. Tuliskan laporan mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.

Komen : Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza.

Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat.

Tip

Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.

b. Menyusun rangka karangan

- Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi

- Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.

- susun isi mengikut urutan kepentingannya.

- Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.

- Isi penting jangan diulang-ulang

c. Menulis karangan

- Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dalu satu perenggan.

- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya.

( Bahagian-bahagian karangan yang ideal )

Perenggan Pendahuluan

Perenggan isi pertama

Perenggan isi kedua

Perenggan isi ketiga

Perenggan isi keempat

Perenggan Penutup

- Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.

d. Menyemak karangan

- Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.

- baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.

e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan

a. 4 minit mencari isi

b. 24 minit menulis karangan

c. 2 minit menyemak semula karangan

Jumlah = 30 minit

Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan.

Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang kedua pula. Ini kerana adalah lebih baik menjawab dua soalan daripada menjawab satu soalan yang baik.

Tip

Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa.

Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.

Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.

Tahukah kamu ?

Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik ?

Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan anda.

Mulakan setiap dialog di baris baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa. Lihat contoh di bawah :

Contoh A ( dicadangkan )

“Kamu baru pulang ?”

“Baru sebentar tadi.” Jawab saya. “Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya.”

“Memang saya tertunggu-tunggu,” luah Jamal , lembut.

Contoh B ( mengelirukan )

“Kamu baru pulang ?” “Baru sebentar tadi.” Jawab saya. “Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya.” “Memang saya tertunggu-tunggu,” luah Jamal , lembut.

& PETUA BILA MENULIS KARANGAN

· Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.

· Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun mengikut mana yang lebih penting.

· Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan.

· Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.

· Bagi karangan meminta fakta , sekurang-kurangnya mempunyai empat isi ( seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.

· Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment